Saturday 22 December 2012

Kisah warga asing di hospital

Pertama sekali aku nak ungkapkan betapa bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia.

Ok. Ini bukan kisah aku tapi kisah dua warga Indonesia yang keguguran. Hasny Meliawati dan Erina. Hasny peramah dan nampak mesra. Senyuman sentiasa terukir dibibir gadis yang berusia 24 tahun ini. Dia seorang operator di salah satu kilang yang terkenal di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dari ceritanya dia sudah 2 tahun setengah kerja di Malaysia.

Aku pelik Hasny hanya berpakaian biasa dan duduk dikerusi tepi katilnya. Berita cepat betul tersebar. Dari Aunty Cecilia sebelah aku dapat tau rupanya Hasny sudah boleh keluar semalam. Dia masuk ke Hospital pada 18 Desember 2012 kerana keguguran di kala bayi di dalam perutnya berusia 4 bulan. Punca? Aku sendiri tidak berani untuk tanyakan soalan sensitif itu. Lebih lebih lagi apabila dia sering kali memberitahu yang pipi anaknya setelah dilahirkan bulat seperti pipinya sambil memicit micit pipinya sendiri. Anak itu sudah cukup sifat tetapi belum cukup kuat untuk hidup di dunia.

Apa tujuan aku tulis tentang Hasny? Aku kesian. Aku tersentuh dengan ceritanya. Suami Hasny warga Myanmar yang bekerja di tapak pembinaan. Dia masih ada dihospital kerana tidak mampu membayar bil hospital untuk keluar. Bil hospitalnya mencecah RM450. Berbanding bil hospital aku yang takkan mencecah RM50 pun sebagai rakyat Malaysia. Sudah semestinya percuma jika aku warga kerajaan. Oh Suci, ini cerita tentang Hasny bukan kau!

Malam nanti jika dia tak mampu bayar, khabarnya dia akan dibawa pergi oleh polis. Aku taktau ini cerita benar atau gosip untuk menakut nakutkan Hasny. Menjelang petang matanya berkaca... Hasny datang rapat ke katilku. Dihulurnya talifon bimbit miliknya. Dia minta aku untuk membeli talifon itu buat dia bayar bil hospital. Jujur aku tidak ada keperluan untuk membelinya. Aku terangkan kepada dia secara baik. Aku memberi idea supaya suaminya meminjam duit majikan atau ambil advance gaji. Aku tak dapat membantu. Yang aku mampu hanya membelikan makanan tengah hari untuknya kerana dia sudah tidak layak untuk mendapat makanan seperti pesakit lain. Aku belanja dan halalkan.

Dia mengadu kepada ku... Aku alih bahasa ke bahasa Malaysia.... "Kak, jika di Indon aku ada kad kelas A dihospital. Bapaku seorang guru. Aku belum ada duit untuk bayar bil hospital yang sepatutnya AGENT aku yang tanggung semua. AGENT ku sudah datang tapi dia lari bersama bil. Dia tidak bayar. Bagaimana Kak? Gajiku setiap bulan dipotong AGENT untuk bayaran perubatan. Tapi bila sakit dia tidak mahu bayar bil hospitalku. Aku datang sini untuk bekerja, aku bukan pengemis. Kenapa Suster ketawakan aku kak? Aku sangat sedih kerana kehilangan anakku. Mereka lagi ketawakan aku. Aku bukan sengaja tidak mahu bayar. AGENT itu tipu aku. Kawan juga enggan membantu. Aku sedih kak."

Dia beritahu yang di Indon dia tak mampu sambung belajar. Di sana segalanya mahal. Aku angguk faham. Aku bertuah. MARA bagi aku peluang untuk sambung belajar. Pinjaman pelajaran aku juga hanya perlu di bayar 10% dari pinjaman. Alhamdulillah. Jika nak cerita terlalu panjang jasa MARA membantu kaum aku sekarang. Syukur. Syukur. Syukur.

Hasny akhirnya keluar hospital pukul 10mlm. Suami dia datang bersama duit yang dipinjam dari kawan-kawan. Sebelum balik dia salam dan cium tangan aku. Dia pergi dengan senyuman.

Erina? Sepatutnya boleh balik semalam juga tapi sehingga pagi ini masih tidur dibawah selimut. AGENT yang janji nak bayar bil hospital tidak kunjung tiba. Dia hanya diam. Diam dibawah selimut sepanjang hari.

Aku masih belum boleh balik. Asyik lupa. Ini bukan kisah aku. Ini kisah mereka.

No comments:

Post a Comment